MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR PPU SMK(A)SULTAN MUHAMMAD

Iklan-Iklan

Sunday, April 8, 2012

>>>Sejarah 1 (Tamadun Islam): Agama dan Kepercayaan Masyarakat Arab Sebelum Kedatangan Islam




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
 “Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”







Huraikan Agama dan Kepercayaan Masyarakat Arab Jahiliah Sebelum Kedatangan Islam


Pendahuluan
Zaman sebelum kedatangan Islam lebih dikenali sebagai zaman jahiliah. Perkataan jahiliah berasal daripada perkataan jahil yang membawa makna bodoh dalam aspek agama tetapi mahir dalam aspek ilmu pengetahuan. Zaman jahiliah ini bermula semenjak jatuhnya empangan maarib sehingga zaman sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi rasul. Masyarakat pada ketika itu tidak mempunyai sebarang kitab suci untuk dijadikan sebagai panduan. Kepercayaan masyarakat arab pada ketika itu terbahagi kepada dua iaitu kepercayaan agama dan kepercayaan adat. Kepercayaan agama merujuk kepada bentuk-bentuk agama yang dianuti oleh masyarakat arab pada ketika itu seperti agama nasrani,agama yahudi,agama wathani dan sebagainya.kepercayaan adat pula merupakan satu bentuk kepercayaan tahyul dan tradisi lama yang diwarisi secara turun temurun ,tidak mempunyai konsep penyembahan sebaliknya membentuk sebahagian daripada cara hidup mereka .


  • Kepercayaan agama
Kepercayaan agama terbahagi kepada dua iaitu agama samawi yang lebih dikenali sebagai agama langit yang diturunkan oleh Allah melalui nabi-nabi tertentu serta mempunyai Kitab-Kitab atau suhuf dan agama Ardhi atau agama ciptaan yang direka oleh manusia.

  • Agama Hanif
Merupakan agama peninggalan Nabi Ibrahim a.s dan puteranya Nabi Ismail. Agama ini diturunkan di kota mekah dan tidak mempunyai kitab tetapi hanya mempunyai suhuf atau lembaran serta pengikutnya bergelar Hunafa. Agama ini terbahagi kepada aspek doktrin dan aspek kaedah iaitu disebut juga sebagai at-Thahannuth iaitu amalan-amalan keagamaan menurut peraturannya. Aspek doktrin ialah mengenai ajaran-ajaran tentang kepercayaan kepada tuhan yang satu yang menjadikan alam ini. Aspek kaedah pula menyentuh mengenai cara-cara ibadat dan latihan rohaniah dalam melaksanakan ajaran ini. Antara amalan agama ini ialah sembahyang , berpuasa , dan tawaf mengelilingi kaabah.setelah kewafatan Nabi Ibrahim, telah berlaku penyelewengan dalam agama ini dan telah dicampur adukkan dengan amalan penyembahan berhala sehingga segelintir sahaja yang menganuti agama Hanif yang asal antaranya seperti Zaid bin Amr dan Umaiyah bin Abi Salt , juga termasuk kedua-dua ibu bapa Nabi SAW sendiri.







  • Agama Nasrani
Agama Nasrani juga dikenali sebagai agama masihi dan diturunkan di Baitulmaqdis melalui Nabi Isa a.s dan kitab Injil. Agama ini telah berkembang luas di Najran , Ghassan dan dikalangan kabilah arab Bani Taghlib, Bani Qadaah , dan Bani Rabiah. Agama ini terbahagi kepada tiga Mazhab iaitu Ya’kubiah di Mesir dan Habsyah, Nasturiah di Hirah dan Parsi , serta Malkani di Maghribi dan Andalusia. Agama Nasrani ini kurang popular dikalangan bangsa arab disebabkan persaingan sengit sesama mazhabnya dan terlalu bersifat spiritual sehingga sukar difahami. Agama ini telah terseleweng kerana para penganutnya mula mencampurkan konsep Trinity iaitu mengangap Nabi Isa sebagai ’anak Tuhan ’. bandar Najran merupakan pusat agama kristian yang utama di tanah arab dan terus menjadi bandar nasrani sehingga zaman pemerintahan Khalifah Umar .Antara yang menganuti agama ini ialah Waraqah Bin Naufal dan Uthman Bin Huwairith .

  • Agama Yahudi
Agama yahudi ini diturunkan di palestin melalui Nabi Musa a.s dan berpandukan kepada Kitab Taurat . Agama ini tersebar luas di madinah , Tai’ma Khaiba , dan di kalangan kabilah badwi seperti bani Kinanah, bani Namir, bani al-Harith, dan bani Kandah. Orang yahudi berasal daripada palestin dan berhijrah ke semenanjung tanah arab sejak abad pertama masihi. Mereka berjaya menarik perhatian orang-orang arab untuk menganut agama yahudi . Agama ini mempunyai pengaruh yang kuat sesama sendiri dan amat membenci penganut agama lain serta dianggap telah terseleweng apabila kaum yahudi mengangap diri mereka sebagai anak tuhan dan manusia yang paling mulia di dunia. Antara tokoh yang terkenal yang menganut agama ini ialah Yusof Zu Nuwas.

  • Agama Majusi
Agama majusi juga turut dikenali sebagai agama Zoroaster kerana pengasasnya dipercayai bernama Zoroaster serta tidak diamalkan secara meluas oleh orang-orang arab jahiliah.Agama majusi di bawa masuk ke semenanjung tanah arab selepas parsi berjaya mengalahkan Habsyah di Yaman pada akhir kurun ke-6 masihi. Penganut agama ini menjadikan api sebagai objek penyembahan mereka. Agama ini mewajibkan para pendetanya menyembah matahari sebanyak empat kali setahun . Agama ini banyak mengandungi cerita khayal yang berunsurkan ketuhanan serta amat mengalakkan perkahwinan antara seorang ibu dengan anak dan adik dengan kakak sendiri. Secara umumnya agama ini mempunyai dua tuhan iaitu tuhan baik (cahaya) serta tuhan jahat (gelita) yang mana kedua-duanya disembah. Agama ini turut terbahagi kepada tiga mazhab iaitu mazhab Kayumarthiah, Zarwaniyah dan Zaradushtiyah. Antara penganut agama majusi yang terkenal ialah Zaharah dan anaknya Hajib yang berasal daripada Bani Tamin.

  • Agama Berhala
Agama berhala juga turut dikenal sebagai agama wathani yang berasal daripada perkataan wathan yang bermaksud berhala dan merupakan agama yang mempunyai penganut yang besar di Semenanjung Tanah Arab Jahiliah. Terdapat tiga pendapat mengenai cara agama ini mula disebarkan antaranya menurut Ibn Kalbi, agama berhala ini bermula apabila Umar bin Luai yang melawat Syam (Syria) untuk mendapatkan ubat-ubatan ternampak kaum Balqa’ menyembah berhala lalu membawa agama ini ke Makkah. Pendapat kedua pula mengatakan bahawa selepas mengerjakan haji, masyarakat arab jahiliah mengutip batu-batu di sekitar Kaabah dibawa ke tempat masing-masing untuk disembah sebagai mengangungkan Kaabah. Pendapat ketiga pula mengatakan bahawa kepercayaan sesetengah masyarakat arab terhadap hajar al Haswad yang berada di Kaabah berasal daripada langit , maka disembah sebagaimana mereka menyembah bintang-bintang di langit. Berhala-berhala yang dibuat adalah daripada batu, kayu , logam, emas, tepung dan perak serta mempunyai pelbagai saiz dan bentuk. Penganut agama ini percaya berhala-berhala tersebut adalah sebagai perantaraan unttuk mereka mendekatkan diri dengan tuhan. Antara berhala yang terkenal ialah al-Latta, al-Uzza, al-Manat, dan al-Hubal.

  • Kepercayaan Tahyul
Kepercayaan tahyul lebih merupakan warisan tradisi masyarakat arab jahiliah yang kekal sebagai sosiobudaya mereka pada ketika itu. Kepercayaan ini tidak mengandungi unsur-unsur penyembahan.Sebagai contoh ,masyarakat arab mempercayai alamat yang dibawa oleh burung. Seseorang yang ingin membuat satu pekerjaan yang penting akan berdiri di depan rumahnya untuk memerhati arah burung terbang sama ada ke kiri atau ke kanan. Jika ke kiri membawa maksud alamat buruk yang dinamakan tasa’um atau sangka duka dan jika ke kanan membawa maksud petanda baik yang dinamakan tafa’ul atau sangka suka. Selain itu juga masyarakat arab jahiliah juga turt mempercayai bahawa orang yang sudah mati akan bertukar atau menjelma menjadi burung Hammah kerana mereka juga turut mempercayai tentang kehidupan selepas mati. Mereka juga turut mempunyai kepercayaan terhadap kuasa tangkal dan azimat seperti amalan pemakaian cincin perak dan tembaga untuk mendapatkan kekuatan.

Kesimpulan
Berdasarkan huraian di atas,terdapat banyak agama dan kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat arab jahiliah bertentangan dengan agama islam. Agama-agama samawi yang pada asalnya merupakan agama yang benar yang dibawa melalui perutusan para Nabi dan rasul telah pun diselewengkan mengikut hawa nafsu mereka. Gambaran kehidupan masyarakat arab jahiliah menunjukkan mereka tidak mempunyai peraturan hidup yang jelas tetapi menurut hawa nafsu semata-mata. Selepas kedatangan islam,semua agama dan kepercayaan karut yang diamalkan oleh masyarakat arab jahiliah dihapuskan dan digantikan dengan kepercayaan dan amalan yang mentauhidkan Allah berlandaskan kepada al-Quran dan hadis.